Rabu, 09 Januari 2008

Pemasaran MLM sah



SOALAN

MENGIKUT perspektif Islam, apakah pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dikira sah?
Apakah hukumnya dan bagaimana dengan pendapatan yang saya peroleh sekiranya terbabit dengan bisnes berkonsep ini?

Hadi | Kuala Lumpur.

Jawapan

SECARA umumnya perniagaan pemasaran berperingkat (MLM) dibenarkan Islam. Di Malaysia ia juga disahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Jualan Langsung (AJL).

Berbeza dengan perniagaan biasa, MLM adalah sejenis jualan langsung daripada syarikat pengeluar kepada pelanggan dengan seseorang yang berjaya memasarkannya mendapat ganjaran iaitu harga yang lebih murah daripada harga runcit.

Perniagaan MLM membabitkan pemasaran peringkat bermula daripada syarikat pengeluar dan pelantikan pihak bawahan (downline) termasuk pengedar, peruncit dan seterusnya pelanggan.

Apa yang penting dalam mana-mana perniagaan termasuk MLM ialah berlakunya perpindahan barangan atau perkhidmatan secara jual beli.

Berbanding dengan skim piramid, ia hanya menumpukan kepada mencari dan menambah downline semata-mata tanpa perlu menjual barangan atau perkhidmatan.

Akhirnya tiada apa yang diniagakan pengusaha dan apabila tiada lagi downline, ia terpaksa ditutup dan mereka berada di bawah yang mendapat kerugian.

Oleh itu, undang-undang mengharamkan skim piramid. Sekiranya MLM yang anda usahakan bertepatan dengan perniagaan dalam Islam dan disahkan kerajaan, pendapatan yang diperolehi adalah halal.


Fikrah DR SALAM
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad Shukri sedia membantu umat Islam yang berhadapan kemusykilan agama. Hantarkan masalah lengkap dengan nama, alamat penuh dan nombor telefon kepada Pengarang Rencana, Harian Metro, Balai Berita, 31, Jalan Riong 59100 Kuala Lumpur atau faksimili 03-22848390 atau e-mel: fikrah@hmetro.com.my
_________________

Tidak ada komentar: